Skip to main content

Pusat Penyelidikan Arkeologi Global  |  Kampus Utama

PPAG mempunyai pasukan penyelidik arkeologi pelbagai disiplin yang terlibat secara aktif dalam penyelidikan arkeologi di seluruh negara. PPAG telah menyumbang sejumlah besar pengetahuan baharu mengenai prasejarah Malaysia dan Asia Tenggara melalui penemuan-penemuan penting. Pada tahun 1998, pusat ini telah memainkan peranan penting dalam penubuhan konsortium antara Universiti Sains Malaysia dan Silpakorn University dari Thailand, Universitas Gadjah Mada dari Indonesia, dan University of the Philippines yang memperkenalkan kursus latihan bersama dan aktiviti penyelidikan dalam bidang arkeologi. Pada pertengahan tahun 2011, pusat ini telah bekerjasama dengan Universitas Sumatera Utara (USU), Indonesia bagi meningkatkan kualiti aktiviti penyelidikan antara kedua-dua organisasi.

Pada tahun 2012, PPAG telah meraikan ulang tahun ke-25 penyelidikan arkeologi di Malaysia. Bersempena dengan sambutan ini, Galeri Arkeologi USM dan Makmal Pencirian Bahan Bumi (MPBB) telah dilancarkan untuk memperkukuh peranan pusat ini sebagai peneraju penyelidikan arkeologi di Malaysia. Tambahan pula, bermula pada tahun 2012, buku “Siri Arkeologi Perdana” telah diterbitkan secara berkala berdasarkan bukti penyelidikan terkini. Selain penerbitan tersebut, PPAG turut melancarkan program “Sahabat@Arkeologi” bagi memenuhi keperluan masyarakat umum dalam bidang arkeologi. Pada tahun 2013, satu MOA telah ditandatangani antara PPAG, USM dan University of Peshawar, Pakistan.

Matlamat dan Objektif

  • Merancang dan mempergiatkan program penyelidikan secara sistematik dalam usaha membina pengetahuan baharu, bukan sahaja mengenai prasejarah Malaysia dan Asia Tenggara, tetapi juga menyumbang kepada data arkeologi peringkat global.
  • Menawarkan pakej minor dalam bidang arkeologi di peringkat prasiswazah serta latihan dan ijazah penyelidikan dalam bidang arkeologi di peringkat pascasiswazah.
  • Melatih dan meningkatkan pengetahuan serta kemahiran teknikal kakitangan Jabatan Warisan Negara dan muzium, sama ada dari dalam atau luar negara, dalam bidang arkeologi.
  • Menyediakan perkhidmatan nasihat dan perundingan dalam pemeliharaan dan pemuliharaan warisan budaya melalui penyelidikan, penubuhan pameran dan muzium, serta kajian Penilaian Impak Warisan (HIA).