Skip to main content

Pusat Penyelidikan Arkeologi Global  |  Kampus Utama

Konsultasi Arkeologi

Kami telah menawarkan kepakaran kami dalam pelbagai projek perundingan, dan antara sorotan utama adalah seperti berikut:

Kami terlibat dalam pelbagai projek Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) seperti Projek Hidroelektrik Bakun dan Penilaian Impak Budaya dan Arkeologi di Empangan Murum, Belaga, Sarawak, serta dalam penyediaan pencalonan Tapak Warisan Dunia untuk Lembah Lenggong pada tahun 2009–2010.

Sorotan projek terkini termasuk:

  • Pemuliharaan dan pemeliharaan Tanah Perkuburan Protestan dan Katolik di Pulau Pinang, ditaja oleh UPEN dan George Town World Heritage Inc., Pulau Pinang (2013–2016).
  • Kajian dan pemetaan arkeologi di Muzium Negeri Pulau Pinang bagi menjejak tapak muzium lama yang musnah semasa Perang Dunia Kedua (Fasa I), ditaja oleh Arkitek Urbansima Sdn. Bhd. (2013).
  • Pemuliharaan lukisan dinding di Boon San Tong Khoo Kongsi (Fasa I), ditaja oleh Pemegang Amanah Boon San Tong Khoo Kongsi, Pulau Pinang (2013).
  • Projek pemuliharaan Fort Cornwallis, ditaja oleh Think City Sdn. Bhd. (2015–2016).
  • Analisis Pencirian Tanah untuk Universiti Teknologi MARA (UiTM) di Perlis, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Bukit Aman, serta Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) di Johor (2015).
  • Ekskavasi arkeologi terusan lama British di Prangin, George Town, Pulau Pinang, ditaja oleh Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang (2016).
  • Kajian arkeologi di Taman Botani Pulau Pinang, ditaja oleh George Town World Heritage Incorporated (2016).

ekskavasi_di_GUA_KAIN_HITAM_Sarawak.png

Selain itu, pusat ini turut giat terlibat dalam penganjuran pelbagai pameran arkeologi di muzium tempatan seperti Muzium Perak, Muzium Miri, Sarawak, dan Muzium Terengganu. Sebahagian daripada penemuan kami juga telah dipamerkan dalam pameran antarabangsa seperti Pameran Manusia Awal yang diadakan di Muzium Sains Negara, Tokyo, Jepun. Hasil penyelidikan kami turut menyumbang kepada penubuhan muzium arkeologi di negara ini seperti Muzium Arkeologi Lenggong di Kota Tampan, Lenggong, Perak; Taman Megalit di Putrajaya; dan Galeri Arkeologi Bukit Tengkorak di Semporna, Sabah.

Kami amat mengalu-alukan kerjasama dan projek perundingan selanjutnya bersama agensi kerajaan mahupun swasta. Kepakaran kami merangkumi bidang-bidang berikut:

  • Ekskavasi
  • Pemuliharaan Arkeologi
  • Analisis Saintifik
  • Tafsiran Data Arkeologi
  • Pemetaan & Kajian Tapak
  • Penerokaan Mineral
  • Pameran Arkeologi
  • Pembangunan Galeri & Muzium
  • Arkeopelancongan (Archaeotourism)