USM di Festival Warisan@Lenggong dan Merakyatkan Seni Budaya sempena Sambutan Ulangtahun Ke-11 Pengiktirafan Warisan Arkeologi Lembah Lenggong sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO
27-30 Julai 2023: Pusat Penyelidikan Arkeologi Global, USM telah bersama menyambut Festival Warisan@Lenggong sempena ‘Ulangtahun Ke-11 Lembah Lenggong sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO’ yang dianjurkan oleh Jabatan Warisan Negara dan Kerajaan Negeri Perak baru-baru ini di Dataran Lenggong, Perak dari 27-30 Julai 2023. Majlis Perasmian dan Penutup telah disempurnakan oleh YB Dato’ Sri Tiong King Sing Menteri Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya bersama YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad Menteri Besar Perak.
USM turut berbangga kerana hasil kajian arkeologi di Lembah Lenggong oleh Pusat Penyelidikan Arkeologi Global USM sejak 1987 telah mendapat pengiktirafan tertinggi pada peringkat dunia. Sehubungan itu, USM telah terlibat dengan Bicara Warisan Arkeologi, Pameran Arkeologi serta Program Arkeologi Muda di Festival Warisan@Lenggong tersebut untuk mendidik orang awam, khususnya rakyat tempatan daripada Perak tentang sejarah, perjumpaan arkeologi, pemeliharaan dan kelestarian warisan arkeologi di Lenggong, Perak.