MAJLIS PENANDATANGANAN MEMORANDUM PERSEFAHAMAN (MoU) DI ANTARA UNIVERSITI SAINS MALAYSIA (USM) & JABATAN MUZIUM MALAYSIA (JMM)
JUMAAT, 9 JUN 2023
BILIK PERSIDANGAN CANSELORI (CCR), ARAS 6, BANGUNAN CANSELORI USM.
Memorandum Persefahaman (MoU) di antara USM dan JMM telah ditandatangani oleh YBhg. Prof. Dato’ Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, Naib Canselor USM dan YBhg. Datuk Kamarul Baharin A. Kasim, Ketua Pengarah JMM, disaksikan oleh YBrs. Dr. Stephen Chia, Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG) dan En. Mohamad Shawali Hj. Badi, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) JMM. Tujuan MoU tersebut adalah untuk menjalinkan kerjasama dan pertukaran kepakaran dan kemahiran dalam kajian, pameran dan konservasi artifak negara. Sebenarnya, USM dengan JMM telah mula bekerjasama sejak 1987 melalui penyelidikan di Kota Tampan dan Gua Harimau di Lenggong, Perak. Pada hari ini, kerjasama ini telah dimeterai secara rasmi bagi memperkasakan lagi aktiviti penyelidikan bersama dalam bidang arkeologi dan pengurusan pameran dan konservasi koleksi. USM akan membantu JMM meningkatkan lagi kualiti pameran dan konservasi secara saintifik melalui kepakaran dan makmal yang canggih di PPAG. Penyelidikan secara saintifik semestinya dapat memberikan nilai tambah kepada artifak dan pameran di bawah pengurusan JMM supaya dapat menambah ilmu pengetahuan yang baharu tentang sejarah dan warisan negara kepada orang ramai. Bagi USM, MoU ini akan memberikan faedah dan impak yang penting dari aspek pendedahan, latihan dan penyelidikan, selari dengan agenda APEX USM dalam memperkasakan lagi kelestarian budaya dan warisan negara.