Skip to main content

Centre for Global Archeological Research  |  Main Campus

Kunjungan Raja Muda Kedah dan Raja Puan Muda Kedah ke Pusat Penyelidikan Arkeologi Global, USM.

28 Julai 2024: Raja Muda Kedah, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Sultan Sallehuddin dan Raja Puan Muda Kedah, Duli Yang Teramat Mulia Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff hari ini melawat Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG) di kampus induk Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang.

Lawatan Baginda berdua adalah untuk menyaksikan sendiri arca Buddha berbentuk manusia dari abad kelapan hingga kesembilan yang telah ditemui oleh pasukan penyelidik tempatan di bawah pimpinan Pensyarah Kanan PPAG USM, Dr. Nasha Rodziadi Khaw di Tapak Warisan Arkeologi Bukit Choras, Yan, Kedah pada bulan Jun lalu.

Ketibaan Baginda berdua di PPAG disambut oleh Pengerusi Lembaga Gabenor Universiti, USM, Dato’ Seri Dr. Awang Adek Hussin; Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat USM, Profesor Dr. Azlan Amran; Pengarah PPAG USM, Profesor Dr. Stephen Chia Ming Soon; Timbalan Pesuruhjaya Warisan, Jabatan Warisan Negara, Ruzairy Arbi; serta para penyelidik PPAG USM.

Dalam lawatan tersebut, Baginda berdua diberikan taklimat mengenai kepentingan penemuan tersebut dalam memperkayakan sejarah tamadun awal Kedah Tua sebagai sebuah pusat perdagangan penting di jalur maritim Asia Tenggara. Penemuan ini juga menunjukkan Bukit Choras sebagai tapak keagamaan yang signifikan, lebih tua berbanding Angkor Wat di Kemboja dan Borobudur di Indonesia.

Baginda berdua amat tertarik dengan penemuan ini, dan arca Buddha tersebut kini ditempatkan sementara di makmal PPAG USM untuk tujuan penyelidikan dan konservasi lanjut.

Selain itu, Baginda Tuanku juga berkenan melawat Makmal Scanning Electron Microscope (SEM) dan Makmal Mikroskop Analisis Artifak di PPAG untuk melihat lebih dekat proses analisis yang dilakukan ke atas penemuan bersejarah ini.

 

rm2.jpg  rm3.jpg

rm10.jpg  rm7.jpg

rm9.jpg rm8.jpg

rm6.jpg  rm5.jpg