JUMPAAN ARCA BERBENTUK MANUSIA YANG LENGKAP DI TAPAK WARISAN ARKEOLOGI BUKIT CHORAS, YAN, KEDAH
26 Jun 2024 – Pasukan penyelidik daripada Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG), Universiti Sains Malaysia (USM) yang diketuai oleh Dr. Nasha bin Rodziadi Khaw telah berjaya menemui arca berbentuk manusia yang lengkap di Tapak Warisan Arkeologi Bukit Choras, Yan, Kedah. Penyelidikan arkeologi fasa III, merupakan satu kerjasama antara Jabatan Warisan Negara (JWN) dan USM, telah berlangsung dari 21 April 2024 sehingga 21 Mei 2024, juga berjaya menemui beberapa artifak lain yang sangat signifikan dan penting bagi Malaysia.
Penyelidikan arkeologi fasa III telah mendedahkan struktur binaan pada bahagian dinding utara dan barat sehingga memperlihatkan dengan jelas struktur utama candi Bukit Choras yang mempunyai seni bina yang unik. Di samping itu, kajian stratigrafi, pemetaan kontur serta dokumentasi yang lebih teliti telah dijalankan terhadap struktur candi serta blok-blok laterit yang ditemui.
Penemuan penting di tapak adalah sebuah arca Buddha bersaiz manusia yang diperbuat daripada stucco, iaitu sejenis bahan campuran kapur, air dan pasir, ditemui di dinding utara candi tersebut. Berbeza dengan arca yang ditemui ketika Fasa I dan Fasa II, arca kali ini ditemui lengkap bersama kepalanya dengan ciri-ciri ikonografi seperti jubah, riak wajah, dan pakaian dapat dilihat dengan jelas. Selain itu, turut ditemui sebuah prasasti Sanskrit yang diukir di atas badan batu serta serpihan tembikar tanah.
Sebagai langkah keselamatan dan penyelidikan lanjutan, relik tersebut telah dibawa keluar dari tapak di Bukit Choras dan ditempatkan sementara di makmal Pusat Penyelidikan Arkeologi Global, USM bagi kerja-kerja konservasi secara menyeluruh.
Kajian perbandingan antara arca yang baru ditemui ini dengan arca-arca lain terutamanya dari tamadun India, Indochina dan Kepulauan Melayu dapat memberikan gambaran penting mengenai masyarakat Kedah Tua terutamanya daripada aspek keagamaan, kebudayaan serta hubungan dari segi kesenian dan teknologi dengan dunia luar. Penemuan sebuah lagi prasasti berbahasa Sanskrit memperlihatkan kepentingan dan signifikan Bukit Choras sebagai tapak keagamaan yang penting. Secara keseluruhannya, sehingga penyelidikan fasa III, sebanyak 3 buah prasasti telah ditemui di Bukit Choras. Kandungan prasasti tersebut mengandungi mantra sagaramatipariprccha (menceritakan tentang doktrin agama buddha yang berkait rapat dengan kekosongan, sebab musabab dan sifat-sifat yang dimiliki oleh Buddha) sama seperti isi kandungan prasasti yang ditemui pada fasa I sebelum ini.
Penemuan jumpaan terkini di Tapak Arkeologi Bukit Choras tentunya membuka ruang kepada tafsiran baharu mengenai kedudukan geostrategik Kedah Tua sebagai sebuah kota penting dalam jalur perdagangan maritim Asia Tenggara. Penyelidikan ini juga menegaskan komitmen yang diberikan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui JWN dan USM dalam menghasilkan data-data baharu bagi memperkayakan sejarah dan melestarikan khazanah warisan negara.
Sebagaimana teras yang digariskan di bawah Dasar Kebudayaan Negara 2021 (DAKEN 2021) iaitu Pemuliharaan Warisan Budaya dan Penjanaan Ekonomi Kebudayaan, JWN bersama Pusat Penyelidikan Arkeologi Global, USM dengan kerjasama Kerajaan Negeri Kedah akan memastikan penemuan ini dijadikan rujukan sejarah dan warisan negara serta dapat dikongsikan kepada orang ramai.
MOTAC melalui JWN akan berusaha mempergiatkan bidang penyelidikan warisan negara termasuklah bidang arkeologi melalui Memorandum of Understanding (MoU) dengan IPTA tempatan banyak kepakaran tempatan untuk menerajui penyelidikan warisan negara.
Kerjasama erat ini diharapkan dapat memperbanyakkan produk pelancongan baharu bagi negeri Kedah khususnya dan Malaysia secara amnya menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026. Melalui pemuliharaan, penyelenggaraan, perlindungan dan promosi warisan negara, penemuan ini tentunya akan menjadi aset arkeo-pelancongan (Archaeo-Tourism) dan tarikan kepada pelancong untuk datang ke negeri Kedah. Impaknya amat positif kepada sektor sokongan dan perkhidmatan yang akhirnya limpahan ekonomi dan kemakmuran tersebut akan dinikmati oleh rakyat tempatan secara keseluruhannya.
Hasil penyelidikan akhir kelak, MOTAC berharap jumpaan-jumpaan ini dapat dipamerkan di tapak itu sendiri atau di muzium terpilih selaras dengan persetujuan.