BENGKEL SEJARAH DAN WARISAN PAGAR TRAS, BUKIT MERTAJAM, PULAU PINANG
22 Februari 2025: Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG), USM telah menganjurkan Bengkel Sejarah dan Warisan Pagar Tras yang bertempat di Anjung Arkeologi, USM, Pulau Pinang. Bengkel ini merupakan anjuran ke-3 bersama pihak PPAG, USM dan ThinkCity dengan Diocese Pulau Pinang. Sebanyak 3 bengkel telah dianjurkan iaitu pada 9 November 2024, 14 Disember 2024 dan 22 Februari 2025 yang melibatkan seramai 150 orang termasuk peserta dan penganjur.
Pada sesi kali ini, seramai 50 peserta dan penganjur telah menghadiri bengkel tersebut, daripada agensi kerajaan Pulau Pinang, NGO, pihak berkepentingan, pemandu pelancong dan masyarakat tempatan Pagar Tras. Tapak Warisan Pagar Tras merupakan salah satu bangunan warisan yang terawal dan bersejarah di Malaysia. Gereja berseni bina “gothic” yang berusia 143 tahun ini telah dibina pada tahun 1882 dengan inspirasi daripada Katedral Notre Dome yang terkenal di Paris.
Objektif utama bengkel ini adalah untuk mewujukan kesedaran dan pengetahuan tentang sejarah dan warisan Pagar Tras bagi komuniti tempatan di Sungai Lembu, Machang Bubok dan Bukit Mertajam serta memelihara dan membangunkan tapak tersebut sebagai produk pelancongan di Seberang Prai, Pulau Pinang. Peserta juga melawat tapak Pagar Tras di Sungai Lembu untuk melihat tinggalan sejarah dan warisan bangunan tersebut. Para peserta turut dibawa ke Kulim untuk melihat tinggalan artifak serta beberapa struktur binaan asal Pagar Tras yang disimpan di gereja tersebut. Majlis penutupan bengkel telah disempurnakan oleh YBhg. Cardinal Dato' Seri Sebastian Francis, Bishop Penang.