A huge collection of 3400+ free website templates www.JARtheme.COM WP themes and more at the biggest community-driven free web design site

USM, UCPH BERGABUNG PERKASA PENYELIDIKAN ARKEOLOGI

USM, PULAU PINANG, 24 September 2016 – Universiti Sains Malaysia (USM) meluaskan rangkaian kolaborasi antarabangsanya apabila memeterai kerjasama dengan University of Copenhagen (UCPH), Denmark khusus dalam memperkasa penyelidikan bidang arkeologi.

Kerjasama melalui Centre for Geogenetics (CGG), UCPH itu dilihat dapat menyumbang kepada lonjakan terhadap kualiti penyelidikan secara lebih menyeluruh yang dijalankan oleh Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG) USM.

Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman berkata, CGG adalah sebuah pusat penyelidikan bertaraf dunia yang mempunyai reputasi tinggi dalam pelbagai aspek penyelidikan genetik termasuk ancient DNA, modern DNA, environmental DNA dan sebagainya.

“Kita akan menghantar sampel-sampel untuk diuji di makmal CGG yang disokong dengan teknologi, fasiliti dan kepakaran yang tinggi, selain turut mempelawa pakar GeoGenetik UCPH ke USM bagi melatih lebih ramai pensyarah di sini.

“Kolaborasi ini turut akan membolehkan USM melonjakkan penerbitannya, apatah lagi dengan rekod UCPH yang dilihat berupaya menerbitkan sekurang-kurangnya enam penerbitan setahun dalam jurnal berimpak tinggi seperti Nature dan Science,” kata Omar.

Dalam pada itu, UCPH yang diwakili Pegawai Komunikasi, Natural History Musuem of Denmark, Uffe Gram Wilken pula menegaskan, pengalaman dan kekuatan penyelidikan kedua-dua pihak akan membawa kepada penyelidikan arkeologi terunggul yang membawa nilai tinggi kepada sejarah.

“PPAG mempunyai kekuatan khususnya dalam penyelidikan di Asia Tenggara dan kekuatan ini akan digabungkan dengan kepakaran CGG yang dijangka akan memberi pandangan baharu lebih jelas dan dinamik terhadap pra-sejarah Asia," katanya.

Teks: Marziana Mohamed Alias