A huge collection of 3400+ free website templates www.JARtheme.COM WP themes and more at the biggest community-driven free web design site

USM, NCIA BERKOLABORASI PROJEK SCIENCE@ALOR SETAR

ALOR SETAR, 7 Ogos 2016 - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah mengalu-alukan kolaborasi di antara Universiti Sains Malaysia (USM) dengan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) untuk bersama-sama memajukan pendidikan dan pembangunan ekonomi negeri Kedah Darul Aman.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menyaksikan Pertukaran Dokumen Perjanjian untuk program Science@Alor Setar di Pejabat Menteri Besar Kedah hari ini.

Menurut Naib Canselor USM, Profesor Dato' Dr. Omar Osman, projek ini adalah untuk memberikan pendidikan dan pembelajaran Sains dan Teknologi serta memainkan peranan dalam pembangunan ekonomi dan bakat yang berpusat di Alor Setar termasuk dalam meningkatkan kebolehpasaran graduan selaras dengan keperluan dan permintaan industri, mempromosikan aktiviti tempatan melalui inovasi dan pembangunan penyelidikan menerusi konsep perkongsian nilai serta membantu menjayakan pelan transformasi Kedah 2013-2018.

"USM akan menawarkan dan menjalankan kursus melalui Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh untuk kursus Biologi, Kimia, Fizik dan Matematik, kursus latihan oleh Pusat Inovasi  dan Produktiviti Pentadbiran Awam (PIPPA) dan Program membudayakan inovasi dan komuniti Kedah di Sik, Jerlun dan Pedu oleh Pusat Inovasi Komuniti (CIC)," katanya.

Selain itu ujarnya, program pemindahan ilmu akan diperkasakan melalui program kecekapan tenaga sekolah menengah terpilih di negeri Kedah bagi pemantapan budaya cekap tenaga yang lestari oleh Pusat Pendidikan dan Latihan Tenaga Boleh Baharu, Kecekapan Tenaga dan Teknologi Hijau (CETREE+GT), dan pembangunan modal insan melalui TVET serta pertumbuhan kawasan perindustrian.

"USM juga akan membantu dalam membangunkan industri pelancongan masa hadapan di Kedah iaitu di Kuala Muda-Yan (Geo-Eko-Arkeo), pencalonan Gunung Jerai sebagai Geopark Kebangsaan 2017, hutan bakau Merbok sebagai Biosfera UNESCO 2017, Kompleks Sungai Batu sebagai tapak warisan arkeologi UNESCO dan Pusat Keilmuan KEDAH-USM sebagai tempat pameran, rekreasi, penyelidikan, latihan dan perniagaan di Jeti Semeling serta akhir sekali, kursus pengurusan makanan halal dan teknologi makanan," jelas Naib Canselor USM itu lagi.

Sementara itu, Ketua Eksekutif, Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Datuk Redza Rafiq pula berkata, kerjasama yang terjalin ini adalah untuk pembangunan negeri Kedah seperti yang tertulis dalam Akujanji Kerajaan Negeri Kedah dan inisiatif pembangunan modal insan dalam meningkatkan graduan berkualiti dan peningkatan pengetahuan sains dan teknologi di Kedah.

"NCIA sebagai pihak berkuasa pelaksanaan koridor utara akan memainkan peranannya dalam terus memacu pertumbuhan dan kemajuan di wilayah ini yang terdiri daripada negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak," katanya yang juga merupakan ahli Lembaga Gabenor USM.

Pada majlis yang sama, logo Science@Alor Setar dilancarkan di samping pertukaran dokumen-dokumen perjanjian antara NCIA dan USM serta Kerajaan Negeri Kedah dan USM.

Yang turut hadir adalah Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna & Koperasi Negeri Kedah YB Dato’ Dr. Ku Abdul Rahman Bin Ku Ismail; Pengerusi Lembaga Gabenor USM Tan Sri Datuk Dr. Zulkefli A. Hassan; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) Ammar Bin Dato’ Shaikh Mahmood Naim; Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi Profesor Dato’ Dr. Muhamad Jantan; Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat Profesor Dr. Abdul Rahman Mohamed; ahli-ahli Jawatankuasa Pengurusan USM serta beberapa kenamaan lain.

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah / Foto: Mohd Fairus Md Isa