A huge collection of 3400+ free website templates www.JARtheme.COM WP themes and more at the biggest community-driven free web design site

KEGEMILANGAN KETAMADUNAN KEDAH TUA PERLU DICALONKAN KE UNESCO

SUNGAI PETANI, KEDAH, 22 Mei 2016 - Persidangan Antarabangsa Kedah Tua (KTIC) 2016 dan Festival Kedah Tua (FKT) dianjurkan bagi mendedahkan keistimewaan ketamadunan di Sungai Batu dan juga untuk persediaan pencalonan Sungai Batu sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Demikian ujar Pengarah Bahagian Pendidikan dan Modal Insan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) Jariyah Hashim ketika berucap semasa penutupan Persidangan Antarabangsa Kedah Tua (KTIC) 2016 di Hotel Park Avenue, Sg. Petani hari ini.

Menurut Jariyah, segala perancangan yang telah diaturkan selama dua hari persidangan ini dalam aspek pertukaran dan perkongsian maklumat amatlah berguna dalam proses ke arah memartabatkan dan memberi pengiktirafan tinggi buat ketamadunan Kedah Tua ini.

"Kesemua para delegasi, peserta dan perceramah yang datang dari seluruh pelusuk dunia telah berjaya menjadikan platform persidangan ini sebagai tempat untuk perbincangan dan pertukaran maklumat yang efektif," jelasnya.

Jariyah juga mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan kepada semua pihak yang bersama-sama terlibat dalam perkara ini terutamanya pihak USM yang terus berusaha dalam memastikan proses pemindahan ilmu, pertukaran informasi, perbincangan, dan lain-lain lagi bersama pihak-pihak lain tercapai.

Sementara itu, majlis penutup persidangan juga diserikan dengan penyampaian sijil penghargaan kepada para penceramah jemputan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Dr. Junaida Lee Abdullah.

Yang hadir sama semasa penutupan KTIC2016 ialah Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelancongan dan Warisan dan Kerja Raya Kedah, Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid; Pesuruhjaya Jabatan Warisan Negara, Dr. Zainah Ibrahim dan Pengarah PPAG USM, Profesor Dato’ Dr. Mokhtar Saidin.

Persidangan selama dua hari ini bermula hari ini dianjur bersama oleh PPAG USM, Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Jabatan Warisan Negara, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Kerajaan Negeri Kedah, Persatuan Pelancongan Dalam Negeri Malaysia (MITA) dan Pertubuhan Akitek Malaysia (PAM).

Persidangan yang diadakan bersempena Festival Kedah Tua 2016 (FKT 2016) itu juga akan memberi tumpuan terhadap kepentingan arkeologi di Lembah Bujang, Kedah.

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah