A huge collection of 3400+ free website templates www.JARtheme.COM WP themes and more at the biggest community-driven free web design site

TAPAK ARKEOLOGI SUNGAI BATU BAKAL DITAMBAH PERUNTUKAN - TIMBALAN MENTERI PELANCONGAN DAN KEBUDAYAAN

SUNGAI PETANI, KEDAH, 21 Mei 2016 - Tapak arkeologi Sungai Batu yang berusia lebih 2,000 tahun mampu untuk dibangunkan sebagai kawasan pelancongan terkemuka di Asia Tenggara jika dapat ditambah peruntukan untuk membangunkan kawasan tersebut.

Demikian jelas Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsuddin dalam usaha untuk memajukan kawasan yang dilihat berpotensi dijadikan sebagai pusat pelancongan yang terkemuka di seluruh dunia melalui sejarah tamadunnya.

Katanya, pihak kerajaan negeri Kedah ada memohon supaya ditambah peruntukan kepada RM5 juta hingga RM10 juta setahun untuk menguruskan prasarana di Lembah Bujang, memandangkan pada masa ini kerajaan pusat hanya memperuntukkan RM500,000 setahun kepada Universiti Sains Malaysia (USM) untuk menjalankan kerja-kerja penyelidikan dan penggalian.

"Peruntukan itu termasuk untuk kerja penyelidikan dan penggalian yang dilakukan oleh Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG) Universiti Sains Malaysia (USM) di kawasan tersebut yang kini agak terbatas kerana kekurangan peruntukan dan bagi pihak kementerian pastinya kita rasakan ini adalah saat terbaik dan tepat pada masanya untuk bangunkan kawasan Sungai Batu ini," katanya.

Tambah Mas Ermieyati, pihak kerajaan negeri dan ejen pelancongan diminta untuk bersedia mempromosikan kawasan Sungai Batu ini kerana beliau melihat ia mampu menjadi kawasan pelancongan terkemuka yang dapat menarik pelancong luar negara.

"Apa jua yang dibentangkan sepanjang persidangan ini akan dijadikan asas dan rujukan kepada pihak kementerian dalam penambahbaikan tapak warisan ini kerana penemuan ini sangat penting bukan sahaja untuk USM dan kerajaan negeri, tetapi juga Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan," katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Kedah Tua (KTIC 2016) di sini hari ini.

Yang hadir sama ialah Naib Canselor USM, Profesor Dato' Dr. Omar Osman; Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelancongan dan Warisan dan Kerja Raya Kedah, Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid; Pesuruhjaya Jabatan Warisan Negara, Dr. Zainah Ibrahim dan Pengarah PPAG USM, Profesor Dato’ Dr. Mokhtar Saidin.

Sementara itu, Omar menyambut baik usaha PPAG USM dalam menjayakan Festival Kedah Tua pada tahun ini yang dilihat mampu meningkatkan bidang arkeologi ini di peringkat dunia.

"Setinggi penghargaan diucapkan kepada pihak PPAG yang telah berjaya menghimpunkan ramai pembentang dan pakar arkeologi dari seluruh dunia dalam persidangan kali ini. Saya harap Festival Kedah Tua ini dapat diteruskan pada tahun hadapan," tambahnya.

Jelas Omar lagi, USM sentiasa menyokong dan komited dalam usaha untuk menarik para pelancong mengenali tapak warisan dunia ini sekaligus dapat meningkatkan nama negeri Kedah dan Malaysia di mata dunia.

Persidangan selama dua hari ini bemula hari ini dianjur bersama oleh PPAG USM, Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Jabatan Warisan Negara, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Kerajaan Negeri Kedah, Persatuan Pelancongan Dalam Negeri Malaysia (MITA) dan Pertubuhan Akitek Malaysia (PAM).

Persidangan yang diadakan bersempena Festival Kedah Tua 2016 (FKT 2016) itu juga akan memberi tumpuan terhadap kepentingan arkeologi di Lembah Bujang dan membuat perbandingan antara semua tamadun utama dunia dari abad keenam Sebelum Masihi hingga abad ke-12 Masihi.

Teks: Syuhada Abd. Aziz