A huge collection of 3400+ free website templates www.JARtheme.COM WP themes and more at the biggest community-driven free web design site

SEJARAH SUNGAI BATU SIGNIFIKAN DIANGKAT KE PENTAS DUNIA - OPPENHEIMER

SUNGAI PETANI, 21 Mei 2016 - Penemuan pelbagai bukti arkeologi yang mengangkat Sungai Batu sebagai tamadun tertua di Asia Tenggara wajar dihebahkan ke pentas dunia.

Demikian kata pakar genetik yang diiktiraf dunia dari Oxford University, Profesor Dr. Stephen Oppenheimer ketika mengulas mengenai kepentingan tapak arkeologi di Sungai Batu yang menyimpan bukti pra-sejarah yang bernilai tinggi.

Katanya, tapak Sungai Batu yang menemukan pelbagai bukti termasuk tapak ritual, industri peleburan besi, pelabuhan, shahbandar dan sebagainya adalah signifikan dengan pembangunan satu tamadun yang cukup hebat pada zaman 535 SM.

"Bukti-bukti ini perlu dipelihara kerana ia membuatkan masyarakat memahami tentang penyelidikan, selain membantu dalam mempromosikan tapak arkeologi ini di pentas dunia," katanya.

Katanya lagi, adalah amat penting tapak Sungai Batu diberi pengiktirafan tinggi kerana ia menceritakan mengenai pembangunan ketamadunan dan perhubungan yang ada pada ketika itu.

Tambahnya, berdasarkan pada penemuan kemajuan budaya tamadun di situ oleh pakar arkeologi Universiti Sains Malaysia (USM) yang diketuai Profesor Dato' Dr. Mohd Mokhtar Saidin, beliau berpendapat wujudnya bukti komunikasi jarak jauh yang kuat serta hubungan dagang.

"Ia membuktikan wujud satu perhubungan yang kukuh khususnya di Asia Tenggara melalui penemuan bukti kapal dan pelabuhan dan ia tidak berlaku secara kebetulan," katanya.

Terdahulu, beliau turut menyampaikan ucaptama bertajuk 'The Importance of Peninsula Malaysia During Prehistoric and Civilization Period' dalam Kedah Tua International Conference (KTIC 2016) di sini hari ini.

Oppenheimer, 68, juga ialah penulis buku bertajuk ‘Out of Eden: The Peopling of the World’ dan juga ‘The Origins of the British: A Genetic Detective Story’ serta terlibat dengan penerbitan rancangan dokumentari di Discovery Channel.

Dalam pada itu, persidangan yang julung kali diadakan ini menghimpunkan 29 orang pengkaji dan cendekiawan tersohor dari 16 buah negara bagi mengupas, menganalisa dan membuat pembuktian Sungai Batu sebagai tapak warisan Tamadun Awal Asia Tenggara.

Pembentangan kertas kerja dalam KTIC 2016 meliputi 10 topik utama iaitu dari perkembangan teknologi peleburan besi sehinggalah kepada senibina dan agama.

Penganjuran KTIC 2016 juga dibuat bagi menyebarluas penemuan terkini Sungai Batu sebagai tapak tamadun awal Asia Tenggara iaitu 535 SM.

Teks: Marziana Mohamed Alias