A huge collection of 3400+ free website templates www.JARtheme.COM WP themes and more at the biggest community-driven free web design site

HEBAHAN - Seminar Arkeologi Kebangsaan Ke-4 2018

Penganjuran Seminar Arkeologi Kebangsaan kali ke-4 oleh Pusat Penyelidikan Arkeologi Global, USM, Pulau Pinang

Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG), Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang akan menganjurkan Seminar Arkeologi Kebangsaan ke-4 dengan tema ‘Memperkasakan Kearifan Arkeologi Malaysia dan Serantau’. Seminar ini akan berlangsung selama dua hari iaitu dari 9 hingga 10 Oktober 2018 bertempat di Hotel Bayview George Town, Pulau Pinang. Seminar Arkeologi Kebangsaan yang pertama (2008), kedua (2013) dan ketiga (2017) telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pelbagai pihak seperti Jabatan Warisan Negara, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Jabatan Muzium Malaysia, universiti-universiti tempatan dan institusi-instutusi penyelidikan dari dalam dan luar negara. Sokongan dan kerjasama ini telah memberi aspirasi baru kepada PPAG, USM untuk menganjurkan Seminar Arkeologi Kebangsaan ke-4 pada tahun 2018.

Sebagai penganjur, PPAG, USM mengalu-alukan penyertaan ahli akademik, para penyelidik dan pelajar-pelajar siswazah dari bidang arkeologi dan bidang-bidang kajian lain yang berkaitan untuk membentang kertas kerja dalam Seminar Arkeologi Kebangsaan ke-4 untuk berkongsi ilmu dan idea tentang dunia arkeologi Malaysia dan negara-negara serantaunya. Seminar ini juga dapat mengukuhkan jaringan dan kerjasama antara agensi yang terlibat dalam bidang arkeologi serta memelihara dan menyelamatkan data dan hasil penyelidikan arkeologi melalui pengurusan, konservasi, latihan dan kajian saintifik yang sistematik, komprehensif dan holistik.

 Antara bidang atau topik yang akan dibahaskan dalam seminar ini adalah arkeologi prasejarah, arkeologi protosejarah, arkeologi bawah air, arkeologi Islam, etnoarkeologi, etnografi dan orang asli, lukisan dan tulisan awal, epigrafi, sejarah/etnosejarah, zooarkeologi, arkeogeologi, arkeogenetik, konservasi arkeologi, aplikasi sains dalam arkeologi, pemuziuman, arkeopelancongan, pengurusan warisan arkeologi dan kajian tentang kearifan tempatan yang melibatkan warisan dan budaya tradisional. Kertas kerja seminar ini akan dibentang dan disediakan dalam Bahasa Malaysia. Kertas kerja akan diterbitkan sebagai buku keluaran edisi khas oleh Jabatan Warisan Negara dengan kerjasama Penerbit USM dan UKM.

 Nota Penting

 * Abstrak kertas kerja perlu dihantar pada atau sebelum 30 Ogos 2018

 * Kertas kerja penuh perlu dihantar pada atau sebelum 15 September 2018

 * Tarikh akhir pendaftaran adalah 5 Oktober 2018

 * Abstrak dan kertas kerja penuh perlu diemel kepada urusetia seminar di alamat sakusm2018@gmail.com

 

Muat turun poster dan borang:

https://drive.google.com/folderview?id=1y2mhNoOR3vSZBOBa2m8q39BRN2WG9K1r

Scanning Electron Microscope Online Booking